Monday, December 25, 2017

I Love You Selalu

اَلسَلامُ عَلَيْكُم وَرَحْمَةُ اَللهِ وَبَرَكاتُهُ‎
Dear families and friends,

Macamana keadaan Yus sekarang ni? 
Apa khabar Yusram sekarang?

Seringkali aku ditanya soalan sedemikian. Tidak tahu bagaimana cara yang tepat untuk menjelaskannya. Untuk menjawab semua pertanyaan kalian. Adakah Abang sudah cukup sihat jika bila mana dia hanya mampu terbaring diam begitu? Terkadang tangan dan kalinya bergerak. Kadangnya tidak. Abang tidak mampu untuk bercakap. Untuk menelan pun sudah tiada daya dan upaya. Tiub disambungkan melalui hidungnya untuk diberikan makanan. Cuma susu semata. Kahak dan air liur disedut melalui lubang yang ditebuk di leher Abang. Kakak Ipar sudah mahir benar untuk melakukan proses ini kerana pernah berbuat yang sama semasa menjaga arwah ayahnya yang sakit kanser selama hampir 2 tahun sebelum ini di rumahnya. Kesan lekuk kerana tempurung kepalanya yang dikeluarkan sebahagiannya sebelum ini sudah semakin ketara kemiknya. Sekarang Abang sedang on antibiotic dalam tempoh sebulan ini. Sudah tiada tempat untuk dicucukkan jarum. Urat sudah keras. Aku tak pasti apa term untuk procedure ini. Bertahan dan bertabahlah Abe. Allah sayangkan Abe. Sebab itu Allah uji Abe begini. Abe sabar deh Abe? 
Kelmarin kakak Ipar bilang, dia membiarkan sahaja Abang menyemburkan air liurnya. Kerana melalui perbuatan itu, Kakak boleh mendengar sedikit bunyi. Rindu katanya mahu mendengar suara Abang. Allahu! Sebak dada aku mendengarkannya. Kakak pernah menjelaskan sebelum ini kepada kami, semoga Allah menetapkan iman mereka sekeluarga untuk terus setia menjaga Abang. Murni sungguh hatimu Kakak! Allah sahaja yang mampu membalas budi di atas jasa Kakak menjaga Abang selama ditimpa sakit begini. Di saat kami adik-beradik tidak berupaya melawat Abang setiap hari di hospital, Kakak sentiasa ada untuk bersama Abang. Membersihkan badannya hatta menukarkan lampin pakai buangnya! Setiap kali melawat Abang, aku takkan lepaskan peluang untuk mengelus dan mencium tangannya, dahi dan pipinya. Tubuh Abang berbau wangi dan segar kerana Kakak sentiasa menjaganya dengan rapi. Memakaikan Abang dengan bedak dan menyapukan losyen untuk terus kekal bersih dan suci. Mengurut dan membuat senaman tangan dan kaki, membilas muka Abang dengan air Zam-Zam dan Yassin sambil tenang membaca ayat-ayat Al-Quran nan indah berseri.

Besar sekali budimu Kakak. Walau Kakak bukannya sihat benar keadaan fizikalnya, namun Kakak kuat demi suami dan anak-anak. Tubuh badannya sudah susut benar. Namun dalam kalangan kami, Kakaklah yang paling kuat dan sabar. Semoga Allah senantiasa memberkati hidupmu Kakak.

Terima kasih banyak-banyak kerana terus setia menjaga Abang tanpa culas. Pesakit-pesakit di sekitar katil Abang sering sahaja bertukar silih berganti. Namun Abang masih juga terbaring di situ. Semoganya nanti Abang kembali sembuh seperti sediakala. InshaAllah. Kelmarin, apabila aku memaklumkan Abang akan kedatanganku dan keluarga juga kehadiran adik-beradik Kak Shikin yang datang melawat bersama, Abang mencuba untuk bercakap dengan menggigit giginya sambil  mengangkat bahunya untuk bangun. Apabila mata Abang kelihatannya laju melilau ke sana dan ke mari, aku lantas bertanya, 
"Abe cari siapa? Kak Shikin ada aje duduk sebelah kanan Abe tu" (kebetulan pada waktu itu guard tidak bertugas sebab sudah di akhir waktu melawat. Jadi kami boleh masuk ke dalam wad secara serentak. Ada bersama juga ketika itu adalah anak-anak dara kami. Jika tidak, hanya seorang pelawat sahaja dibenarkan melawat Abang pada satu-satu masa. Kak Shikin tidak boleh menunggu di wad ini dan hanya boleh melawat dalam waktu lawatan sahaja. Wad Neurosurgeri merupakan separa ICU juga kecuali katil pesakit yang terletak di hadapan pintu yang boleh menerima ramai pelawat pada satu-satu masa).
Pantas sahaja mata Abang bergerak ke arah sebelah kanan. Cari isteri dia rupa-rupanya ha! Kak Shikin ada Abe. InshaAllah. InshaAllah. Abe jangan risau. Setiap kali habis sahaja waktu melawat, Kakak akan bersalam sambil mencium tangan Abang. Memohon maaf sebelum bergerak untuk keluar dari wad. Luruh jantung aku mendengarkannya di setiap kali itu! Semoga Kakak terus sihat dan tabah. Sabar menerima ujian yang Allah beri ini. Kami sudah tidak mampu untuk menangis. Bagaikan sudah tidak punya air mata untuk ditangiskan. Cuba untuk tidak berbuat sedemikian bila berhadapan sesama kami. Harapannya supaya masing-masing terus kuat. Apabila kaki melangkah masuk ke dalam wad, emosi kami automatically terus sahaja bertukar. Tidak boleh nak bersedih atau memuramkan suasana. Kami sepakat duduk mengusik Abang jika sekiranya dia membuat muka, memuncungkan bibir dan apa sahaja gerak laku serta reaksinya untuk membahannya. Sebab tak nak rasa stress camtu. Just relax and happy- happy duduk berbual santai dengan Abang. No air mata and no sedih-sedih okay? Kena kuatkan semangat juga demi perasaan Abang. Kami cuba sebaik yang mungkin. Walau ia hanya perlakuan yang pura-pura semata. Walau di sebaliknya hati kami hancur berderai melihatkan Abang sebegitu kini. Cuma Allah sahaja yang tahu. Apa perasaan yang terbuku di kalbu. Yang bergelodak di dalam itu. Sarat dan tidak menentu. Menanggung segala pedihnya di dalam sendu.
Terima kasih banyak-banyak juga di atas doa kalian yang dikirimkan selalu. Tanpa culas. Dan tanpa jemu. Sentiasa sahaja ada di situ.

Abe, kuatkan semangat Abe. Kami takkan pernah tinggalkan Abe. Walau Wati hanya mampu melawat Abe sekali dalam seminggu. Wati minta maaf banyak-banyak Abe. Tidak boleh saban hari untuk berada bersama Abe di saat-saat sukar Abe serupa ini. I love you Abe. Selalu. Dan selamanya akan kekal begitu.
Seharusnya terus kekal sebegitu.

No comments:

Happy Birthday Baby Manis

Assalamualaikum,  Hari ini baby Covid Ummi ni dah genap setahun. Begitu pantas masa berlalu ya? Baru rasa macam semalam sahaja Ummi melahirk...